Politik di Bandar Bistari : Satu Perubahan Paradigma
(Politics in Intelligent City: The Paradigm Shift)
Oleh : Wong Hon Wai (1998)

PENGENALAN

Dalam dekad ini ramai pihak telah memperkatakan tentang perubahan besar sistem kehidupan manusia dengan munculnya Era Maklumat. Era Maklumat ini boleh dilihat sebagai peristiwa yang lebih besar daripada Revolusi Perusahaan yang berlaku hampir seabad yang lalu yang telah mencorakkan semula peradaban manusia kepada satu bentuk kehidupan yang lebih canggih. Menurut seorang ahli futuristik terkenal, Alvin Toffler, dalam bukunya "Third Wave" bahawa tamadun manusia sedang melangkah ke arah Gelombang Ketiga yang merupakan Era Maklumat. Toffler juga menerangkan bahawa Gelombang Pertama merupakan Era Pertanian sementara Gelombang Kedua ialah Era Perusahaan Beliau juga menjangkakan kedatangan Gelombang Ketiga akan membawakan perubahan paradigma dalam bidang politik.

Dalam tengah-tengah perbincangan Era Maklumat, terbitnya satu konsep baru dalam perancangan bandar iaitu Bandar Bistari. Konsep Bandar Bistari boleh dikaitkan dengan infrastraktur maklumat yang lengkap dan canggih serta aplikasi komputer yang meresap ke dalam kehidupan seharian penduduk di bandar tersebut. Majoriti populasi penduduk dalam Bandar Bistari akan terdiri daripada golongan pekerja ilmu (knowledge worker) yang merupakan ciri Gelombang Ketiga. Ini berbeza berbanding dengan bandar biasa yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada pekerja kilang yang melambangkan Gelombang Kedua.

Oleh kerana bidang politik berkaitan dengan aktiviti manusia, maka perubahan cara hidup penduduk di Bandar Bistari akan membawakan perubahan dalam paradigma berpolitik. Corak kegiatan berpolitik, mod penyertaan rakyat dalam politik serta darjah ketelusan kerajaan (transparency of the government) akan dikaji dalam analisis ini dengan rujukan kepada kes Bandar Bistari.

PERUBAHAN PERATURAN PERMAINAN POLITIK

Dalam Bandar Bistari, ahli politik yang masih mengamalkan politik zaman Gelombang Kedua akan mengalami satu kejutan budaya politik (political cultural shock). Ini kerana peraturan permainan politik akan mengalami satu perubahan paradigma.

Proses Pilihanraya di Bandar Bistari

Perkara yang terpenting bagi ahli politik ialah musim pilihanraya. Segala perubahan terhadap peraturan pilihanraya akan diperdebatkan dengan hebatnya oleh para ahli politik kerana perubahan terhadap peraturan tersebut seumpama mengubah peraturan permainan sukan yang kemudian akan menentukan jatuh bangunnya karier politik mereka. Walaupun tentangan sebahagian ahli politik terhadap sesuatu perubahan peraturan yang merugikan pihak mereka, tetapi evolusi dalam proses pilihanraya adalah sesuatu yang semestinya berlaku sejajar dengan peredaran zaman.

Di pilihanraya Bandar Bistari, proses pendaftaran pengundi akan dijalankan secara atas talian. Iaitu pengundi boleh mendaftarkan diri sebagai pengundi dengan menjejaki homepage Suruhanjaya Pilihanraya. Tambahan pula, proses pendaftaran pengundi tidak terhad kepada tempoh tertentu tetapi akan dijalankan sepanjang tahun.

Dalam pilihanraya di Bandar Bistari, pembuangan undi dilakukan dengan bantuan peralatan komputer yang canggih seperti terminal sentuhan (touch screen terminal). Di samping itu, pengundi boleh menjalankan kewajipan sebagai pengundi tanpa perlu bersusah payah untuk balik ke kawasan asalnya tetapi dengan mengundi secara elektronik di kawasan tertentu seperti Pejabat Suruhanjaya Pilihanraya atau Pejabat Kedutaan di luar negara. Sistem pengundian sebegini boleh menggunakan Rangkaian Perkhidmatan Telefon Awam (PSTN) atau rangkaian ISDN dalam pengendalian operasinya. Proses pengiraan undi di Bandar Bistari juga menggunakan bantuan komputer dengan komunikasi rangkaian yang canggih. Dengan ini, keputusan pengundian dapat diketahui dengan dengan pantas dan lengkap. Sebelum ini, pihak Suruhanjaya Pilihanraya perlu mengupah beribu-ribu pekerja sementara untuk kerja mengira undi. Sistem pengiraan undi yang baru ini hanya perlu mengupah beberapa operator sahaja untuk pengawalan.

Tambahan pula, data serta profil pengundi dapat didapati dengan mudah di pangkalan data Suruhanjaya Pilihanraya. Dengan ini, proses pilihanraya akan berjalan di bawah satu persekitaran yang lebih terbuka. Keadaan ini akan menghapuskan masalah 'pengundi hantu' (phantom voter). Terhapusnya kejadian pengundi hantu (iaitu pengundi yang bukan tinggal di sesebuah rumah tetapi telah mendaftarkan nama di alamat tersebut) dapat meningkatkan kredibiliti keputusan sesuatu pilihanraya. Taktik ahli politik Gelombang Kedua dengan memindahkan penyokongnya ke sesuatu kawasan pilihanraya sebagai pengundi hantu akan dikalahkan dengan pangkalan data Gelombang Ketiga yang dapat diperiksa kejadian seumpama itu dengan beberapa ketukan butang komputer.

Alam Internet Sebagai Medan Pertaruhan Politik

Penggunaan teknologi komunikasi dalam politik menjadi semakin lumrah apabila World Wide Web (WWW) menjajah seluruh dunia melalui Internet. Isu-isu serta propaganda politk turut dibawa ke alam Internet. Dalam Bandar Bistari yang dilengkapi dengan infrastruktur seperti rangkaian yang lengkap, cepat dan peralatan komputer yang canggih, kemunculan politik di atas rangkaian adalah trend yang pasti akan menyerlah.

Alam Internet menawarkan peluang yang begitu menarik bagi ahli politik untuk memperluaskan kegiatan dan menyebarkan utusan mereka dengan cepat dan murah. Lebih-lebih lagi parti kecil yang jarang berpeluang untuk muncul di alam televisyen, radio atau akhbar atas masalah kesuntukan kewangan atau pengawalan ketat parti pemerintah dalam media-media tersebut. Parti politik ini dapat menggunakan ruang siber sebagai medan kempen pilihanraya.

Mereka boleh memuatkan manifesto pilihanraya, calon yang bertanding serta cemuhan terhadap parti lawan di homepage masing-masing. Parti politik akan berebut-rebut memaparkan mesej politik mereka dalam bentuk grafik yang menarik serta mengeluarkan Video CD untuk cuba menawan hati dan fikiran pengundi. Dengan itu, pengundi di Bandar Bistari akan mendapat maklumat yang seimbang antara semua yang bertaruh dalam pilihanraya sebelum membuang undi. Dengan ini, tindakan parti memerintah menganiaya parti lawan dengan taktik kotor 'media blackout' ke atas parti lawan tidak akan berlaku.

Secara ringkasnya, pilihanraya di Bandar Bistari akan merupakan satu proses yang bersih dan adil.

PERUBAHAN MOD PENYERTAAN RAKYAT DALAM POLITIK

Pada masa Athens lama (Gelombang Pertama) , cara politik diamalkan ialah politik bersemuka. Iaitu, ahli politik di Athens lama berkempen dengan cara 'turun ke padang' bertemu dengan rakyat secara terus. Rakyat yang ingin mengbangkitkan isu politik hanyalah dapat berbincang di pasar dan impak terhadap keputusan politik adalah kurang.

Pada zaman Gelombang Kedua, cara berpolitik mengalami perubahan dengan wujudnya teknologi percetakan, radio serta televisyen yang dapat menyebarkan maklumat politik kepada sasaran pengundi yang ramai dengan kos yang kurang. Mod penyertaan rakyat biasa dalam politik masih terhad kepada perbincangan di ruangan pembaca di suratkhabar ataupun semasa sesi mesyuarat perjumpaan pemimpin-rakyat.

Pada zaman Gelombang Ketiga, kemunculan Internet serta infrastruktur maklumat yang cekap menawarkan peluang berpolitik yang baru. Kumpulan diskusi yang memperdebatkan isu-isu politik tempatan telah membuka ruang baru kepada pengguna rangkaian Internet untuk menyalurkan pendapat masing-masing.

Parti pembangkang yang tidak berpeluang untuk muncul di televisyen, radio ataupun suratkhabar di bawah kawalan ketat parti pemerintah akan berpeluang berbuat demikian di Zaman Gelombang Ketiga melalui homepage di Internet. Tambahan pula, dijangkakan bahawa kumpulan komuniti elektronik yang kecil akan tumbuh seperti cendawan selepas hujan di Bandar Bistari. Komuniti elektronik ini biasanya memperjuangkan sesuatu isu khusus seperti isu alam sekitar, isu hak wanita dan seumpamanya.

Komuniti elektronik ini akan menggunakan medan mailing list atau newsgroup sebagai medan perbincangan isu politik. Justeru itu, rakyat akan mempunyai suara yang lebih lantang dan berpeluang untuk menegur dan menkritik tindakan kerajaan. Bantahan dalam bentuk berpiket akan dianggap sebagai ketinggalan zaman. Papan tanda yang menyatakan " Sila Horn untuk sokong kita" akan menjadi sejarah. Sebaliknya saluran elektronik seperti menghantar beribu-ribu mel elekronik bantahan kepada pihak bertanggungjawab akan diterokai.

Sementara itu, opinion poll akan menjadi satu budaya dalam Bandar Bistari . Pendapat umum terhadap sesuatu isu dapat diperolehi. Mereka akan diberi tempoh tertentu untuk memberi maklum balas atau pandangan mereka dengan mendial nombor khas pada telefon mereka atau menjawab secara mel elektronik ataupun mengisi borang soal-selidik di homepage tertentu. Selepas itu. komputer akan digunakan dalam mengira bilangan rakyat yang menyokong sesuatu pendapat. Dengan itu, kerajaan dapat menggunakan opinion poll sedemikian sebagai kayu pengukur terhadap perlaksanaan sesuatu polisi.

Berbanding dengan era yang lain, rakyat di Bandar Bistari akan terlibat secara aktifnya dalam penentuan dasar kerajaan. Interaksi antara wakil rakyat dengan penduduk di Bandar Bistari akan dapat dijayakan dengan teknologi rangkaian yang canggih. Sesi perjumpaan tahunan denga Datuk Bandar Bistari dengan rakyat dapat dilakukan secara video-conferencing di beberapa lokasi berbeza di Bandar Bistari. Interaksi kerajaan dengan rakyat boleh disertai oleh seluruh penduduk bandar bistari. Dengan ini, darjah penyertaan rakyat dalam politik akan meningkat.

Maka, impian demokrasi "Dari Rakyat, Oleh Rakyat dan Untuk Rakyat" akan dicapai dengan suatu pentadbiran kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat.

Ketelusan Urusan Kerajaan bertambah

Dalam Bandar Bistari, ketelusan dalam urusan kerajaan akan bertambah dengan sokongan infrastruktur maklumat Ini dapat dilakukan dengan kebanyakan urusan serta maklumat kerajaan dapat diuruskan secara atas talian samada melalui Internet ataupun telefon. Penduduk di Bandar Bistari boleh memohon buku passport tanpa perlu beratur lama di Pejabat Imigresen. Mereka boleh menghantar butir diri dan gambar melalui Internet ke server Pejabat Imigresen.

Urusan kerajaan yang lain seperti permohonan kad pengenalan, pembaruan lesen memandu dan lain-lain dapat dilakukan melaluik penghantaran melalui rangkaian Internet. Pelbagai agensi dan kementerian kerajaan akan disambungkan menjadi satu rankaian WAN. Dengan ini, rakyat dapat mencapai maklumat terbaru mengenai perubahan polisi, berita terkini dan pengumuman kerajaan. Di samping itu, penduduk Bandar Bistari akan mendapat maklumat yang secukupnya terhadap segala rang undang-undang, peraturan kerajaan yang bakal atau sedang dilaksanakan.

Draf undang-undang yang akan dibentang untuk perdebatan di Parlimen dapat diperolehi teks penuhnya dalam bentuk homepage di server Parlimen. Dengan itu, rakyat jelata yang berminat boleh menkaji draf undang-undang tersebut dan mengutarakan pendapat mereka di komuniti elektronik ataupun melobi kepada Ahli Parlimen. Di samping itu, teks perdebatan, soalan dan jawapan bertulis serta Hansard Parlimen Bandar Bistari dapat diperolehi secara mudah di homepage Internet. Sementara itu, statistik kehadiran ahli-ahli Parlimen juga akan dipaparkan di homepage Parlimen. Dengan ini, rakyat dapat membandingkan wakil rakyat yang mana yang efektif.

Penutup

Menjelangnya Era Maklumat telah menawarkan peluang baru serta mendatangkan cabaran baru kepada parti-parti politik. Parti politik yang mentransformasikan diri untuk menyesuaikan diri dengan Era Maklumat sahaja akan kekal di arena politik.Parti politik yang gagal mengikuti peredaran zaman akan ditenggelami arus Gelombang Ketiga.

Sementara itu, kemunculan Era Maklumat akan membuka pintu demokrasi dengan lebih luas melalui penyertaan rakyat terhadap penentuan polisi kerajaan serta ketelusan pentadbiran kerajaan akan bertambah.

Bahan Rujukan :

  1. Power Shift oleh Alvin Toffer,1990.
  2. Getting Set for the Coming Millennium oleh Alvin dan Heidi Toffler , The
    Futurist March-April 1995.
  3. "Malaysia keen on Australian system of election", News Straits Times
    Januari 24 1997 ms14
  4. Election Todays.
  5. Public Bills Before Parliament .
    http://www.parliament.the-stationery-office.co.uk
  6. New Zealand Government Online Blue Pages.

Kembali ke atas

------------------------------------------------------------------------
From: Wong Hon Wai <wong2020@tm.net.my>
To: <Mutiara-net@onelist.com>
Subject: [gerak-net] Politik di Bandar Bistari: Satu Perubahan Paradigma
Date: Friday, December 25, 1998 11:21 PM

Nota : Artikel ini disalin semula kebentuk web dari teks e-mail Sdra Wong Hon Wai yang dikirim oleh beliau kepada Gerak-Net pada 25 hb. Disember 1998 untuk tatapan pembaca sekelian. Semoga mendapat manfaatnya.

Kisah Wahyu Terakhir | Solat | Saat Kematian | SekularMenu

Cadangan dan teguran dipersilakan kealamat azubir@pc.jaring.my

Revised: April 23, 2016.